Sumbangan dana untuk tabung PKWR

sila hubungi PKWR DUN Pantai Merdeka
04 - 438 0595


pkwrn27@gmail.com
khidmat_pantai_merdeka@yahoo.com

Tuesday, May 20, 2008

"Bukan saya 'jolok' Mahathir keluar Umno"

Bashir Ishak
Tue | May 20, 08 | 3:24:46 pm MYT
ALOR STAR, 20 Mei (Hrkh) - Pengumuman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk keluar daripada Umno adalah suatu yang telah dirancangkan oleh beliau sendiri bukannya disebabkan cabaran yang dibuat oleh seorang peserta dalam dialog 'Nasib Kedudukan Bangsa Melayu' di sebuah hotel di sini semalam.

Sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris hari ini dipetik menyebut seorang ahli PAS, Ismail Wan Teh merupakan individu yang terbabit mencabar Mahathir keluar dari Umno dalam majlis tersebut.

Ismail yang ditemui hari berkata beliau tidak nampak cabarannya itu menjadi penyebab Mahathir keluar dari Umno sebaliknya sebagai seorang tokoh negarawan yang terbilang, Mahathir tidak mungkin membuat satu keputusan yang terburu-buru.

"Saya memang seorang ahli PAS, tetapi hadir ke majlis dialog tersebut sebagai wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) Badan Bertindak Warga Kedah atas nama perpaduan Melayu," katanya yang juga merupakan Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Jerlun.

Mengulas lanjut, Ismail melihat kebenaran dalam ucapan Mahathir selama hampir sejam itu yang mana banyak mengupas tentang kepimpinan Umno masa kini yang takut untuk bersuara dan menjaga kepentingan peribadi.

"Apa yang kita lihat ialah orang-orang Umno gagal mentafsir idea-idea Tun Mahathir untuk merungkai permasalahan bangsa Melayu pada masa kini," ujarnya.

Justeru katanya, beliau bangun mengemukakan soalan dan mencabar Mahathir untuk keluar dari Umno bagi membuktikan apa yang disebut dalam ucapannya bukanlah satu retorik semata-matanya.

Begitu juga bila ditanya, Ismail tidak berasa terkejut dengan pengumuman yang dibuat Mahathir kerana beliau sudah dapat menjangkanya berikutan apa yang disebut Mahathir dalam ucapannya.

"Bagi saya, apa yang Tun (Mahathir) umumkan itu bukanlah dirancang oleh beliau seorang. Begitu juga kita kena terima apa yang diumumkannya itu dan janganlah pulak ada pihak yang menghina atau memperlekehkan kredibiliti beliau.

"Kita kena ingat, beliau adalah Perdana Menteri selama 22 tahun dan hampir separuh pemerintahan Umno berada di tangannya. Jadi bagi saya keputusan beliau keluar Umno bukannlah kerana saya yang 'jolok' tapi suatu yang memang telah dirancangkan," katanya lagi. - mks.

No comments: