SUNGAI PETANI, 15 November: Seramai 169 murid sekolah rendah dan
pra sekolah yang berumur antara enam hingga 10 tahun menyertai majlis
berkhatan beramai-ramai bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai
Merdeka yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani
(MPSP), Tikam Batu, di sini.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa
Pelajaran dan Koperasi, Teknologi Maklumat ICT dan Komunikasi, YB.
Tuan Haji Abdullah Jusoh.
Menurut YB. Tuan Haji Abdullah Jusoh, majlis yang pertama kali
diadakan itu adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada ibu bapa
untuk menghayati dan memahami betapa pentingnya semangat kekeluargaan
dalam kehidupan.
"Program ini diadakan secara percuma untuk murid sekolah dan pra
sekolah yang terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan dan
sanggup untuk menyertai program seperti ini," jelasnya.
Ujarnya, program seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa
dalam usaha mendidik pelajar agar lebih bertanggungjawab serta mampu
menjadi pelajar yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Beliau berharap ibu bapa dapat mengambil peluang sebegini untuk
mendedahkan kepada anak-anak mereka betapa pentingnya semangat
setiakawan dan saling bantu membantu antara satu sama lain.
"Jadikan program berkhatan beramai-ramai sebagai salah satu program
yang mampu membenihkan semangat kekeluargaan di samping berupaya
membentuk jati diri pelajar agar menjadi warganegara yang berilmu dan
berwawasan," katanya.
Jelasnya, ibu bapa juga dinasihatkan agar mengawal anak-anak dari
terjebak dalam gejala yang kurang sihat seperti penagihan dadah dan
lepak yang boleh merosakkan kehidupan mereka.
"Anak-anak adalah permata yang tidak ternilai harganya dan mereka
(anak-anak) perlu dijaga dan diberikan ilmu pengetahuan yang
secukupnya agar mereka tidak terjebak dalam gejala negatif seperti
itu," ujarnya.
Seorang murid dari Sekolah Kebangsaan Tikam Batu, Firdaus Abdul Aziz,
9, berkata, dia tidak merasa takut untuk menyertai program berkhatan
beramai-ramai dan ia mampu mendidiknya agar menjadi seorang pelajar
yang berani.
"Dengan menyertai program ini, saya dapat berkenalan dengan
murid-murid dari sekolah yang berlainan serta mampu menjalinkan
semangat silaturahim antara satu sama lain," katanya.
Seorang ibu, Hasnah Abu Hassan, 37, ketika ditemui melahirkan rasa
gembira kerana anaknya, Mohd. Azlan Azizan, 7, terpilih untuk
menyertai program yang diadakan itu.
"Sebagai ibu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat
DUN Pantai Merdeka kerana mengadakan program ini untuk keluarga yang
tidak berkemampuan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment