Sumbangan dana untuk tabung PKWR

sila hubungi PKWR DUN Pantai Merdeka
04 - 438 0595


pkwrn27@gmail.com
khidmat_pantai_merdeka@yahoo.com

Sunday, December 7, 2008

Jangan biar ummah terpesong dari landasan agama

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

 

ALOR SETAR, 4 Disember – Dari sehari ke sehari kita didedahkan dengan pembangunan yang membanggakan. Namun, ianya harus seiring dengan pembangunan ummah agar tidak terpesong daripada landasan agama.

 

Demikian ucapan Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada Majlis Penganugerahan Sijil Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Kedah yang diadakan di Dewan Sri Mentaloon di sini.

 

"Dunia sudah terbuka, banyak peluang pekerjaan wujud. Bidang pendidikan adalah penting kepada kita untuk bangkitkan semula Islam dalam setiap aktiviti  pembangunan negeri.

 

"Setiap tahun kelahiran di Kedah amat membanggakan dan sepanjang membesarkan anak-anak  perlu disemai dengan ajaran agama bagi kesejahteraan di dunia dan akhirat. Ini penting bagi guru-guru agama memainkan peranan sebagai penyampai kepada seluruh rakyat," jelas beliau.

 

Di majlis itu YAB Dato' Seri Ustaz Azizan telah menyampaikan sijil tersebut kepada 351 penerima dari seluruh negeri Kedah yang anjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Kedah.

 

Selama pemerintahan, beliau telah membuat penekanan Islam dalam proses pembangunan negeri, seperti pelaburan dan hartanah yang tidak menindas mana-mana pihak.

 

Dewasa ini, fenomena keruntuhan akhlak di tahap yang kritikal,  bukan sahaja berlaku di kalangan muda-mudi, tetapi turut melanda golongan dewasa. Kehidupan masyarakat yang porak peranda adalah berpunca daripada wujudnya golongan yang runtuh akhlaknya, dengan membelakangkan ajaran agama dalam kehidupan seharian, tambah beliau.

 

"Runtuhnya agama, runtuhlah akhlak, maka adalah penting semua pihak menerapkan ajaran Islam serta para guru agama memainkan peranan dalam penyebaran Islam ini kerana seluruh ummah berperanan sebagai mubaligh.

 

"Bagi pihak kerajaan, saya telah mengarahkan GLC buat peruntukan bagi aktiviti berteraskan Islam dan kerajaan telah tambah peruntukan dalam pembangunan Islam seperti pembaikan serta pembinaan sekolah-sekolah agama," ujar beliau.

 

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ahli Mesyuarat Kerajaan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Koperasi, Teknologi Maklumat ICT dan Komunikasi, YB  Haji Abdullah Jusoh dan Yang Berbahagia Mufti Kerajaan Negeri Kedah, Shahibus Samahah Dato' Paduka Syeikh Hasbullah Haji Abdul Halim.