Thursday, February 26, 2009
HENTI LAGAKAN RAKYAT-ISTANA!
Siapa Exco Kedah derhakai Raja?
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Setiausaha Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat muncul bersama gerombolan 'nangoi-nangoi' Umno umum akan membuat laporan polis terhadap seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah kononnya Exco tersebut menghina Sultan. Ia berdasarkan surat layang yang mendakwa Exco tersebut menghina Sultan. Begitulah rendahnya mutu berfikir Pemuda Umno, membuat dakwaan berasaskan surat layang. Jika polis dibenar untuk dibebankan menyiasat isi kandungan surat layang maka eloklah semua surat layang perihal kebejatan pemimpin yang tersebar luas waktu pilihanraya umum dan sewaktu pemilihan Umno sekarang ini dirujukkan ke balai polis. Terpaksalah pula polis mewujudkan sebuah unit khas untuk menyiasat surat layang.
Apa yang dilakukan oleh Haris dan gerombolannya adalah senario semasa yang sedang melanda Umno di seluruh negara iaitu wabak 'report polis'. Atas pelbagai isu, pemimpin dan ahli Umno berulang-alik ke balai polis di seluruh negara sejak akhir-akhir ini.
Secara bergurau seorang sahabat berkata, "Dulu, masa jadi kerajaan Umno sibuk dok hurung projek, bila jadi pembangkang sibuk hurung balai polis, aku ingat simbol keris pada Umno patut diganti dengan simbol balai polis."
Kebetulannya isu derhaka yang dicetuskan oleh Pemuda Umno Kedah itu berlaku sehari selepas calon Timbalan Presiden Umno, Dato' Ali Rustam mencetuskan kontroversi dengan mengadakan 'ceramah politik' di hadapan Tuanku Sultan Kedah dalam majlis Pelancaran Buku Semangat Keris Melayu. Agak memalukan kerana dia hadir berucap sebagai Presiden Dunia Melayu Dunia Islam, tetapi memberi ucapan seolah-olah berkempen untuk memenangi jawatan penting dalam Umno. Jika Ali berucap di hadapan Sultan Perak, barangkali tidak menjadi hal. Tetapi apabila dia berucap di hadapan Sultan Kedah yang terkenal sebagai seorang raja yang bersikap adil terhadap rakyatnya, maka ucapannya jadi sumbang serta tidak disenangi oleh ramai hadirin.
Exco Kerajaan Negeri, Dr. Ismail Salleh yang turut hadir mewakili Menteri Besar antara yang tidak senang dengan ucapan Naib Presiden Umno itu lalu membidas, "Memang realiti semasa dalam Umno menunjukkan bahawa Ali telah ketinggalan dari segi sokongan terhadapnya, tapi amat tidak wajar untuk dia 'meracau' dalam program seperti ini untuk menaikkan saham dirinya."
Di samping menyiarkan kecaman Dr. Ismail dalam laman web Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah, saya turut menyiarkan petikan tulisan Mohd Fadli Ghani perihal perderhakaan Presiden Umno yang pertama, Dato' Onn Jaafar terhadap Sultan Kedah iaitu Tunku Badlishah ayahanda kepada Sultan Abdul Halim yang memerintah Kedah sekarang.
Fadli menulis, "Umno secara terbuka menghina Sultan Kedah (Tunku Badlishah) dalam beberapa isu yang berbangkit pada 1948 dan mendakwa Raja-raja Melayu tidak wajar meminggirkan Umno yang mempertahankan Raja-raja Melayu semasa Malayan Union.
"Akhirnya, Sultan Kedah berjaya mempengaruhi Raja-raja Melayu supaya menolak cadangan Umno untuk melantik seorang Melayu sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi.
Kerana gagal dalam mempengaruhi Raja-raja Melayu, Presiden Umno, Dato' Onn sekali lagi menderhaka dengan menuduh Raja-raja Melayu memungkiri janji dan bertindak tidak mengikut perlembagaan.
"Ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Umno di Butterworth pada 27 Ogos 1949, Dato' Onn menuduh raja-raja lebih mementingkan diri daripada menjaga kepentingan orang Melayu. Beliau juga menuduh Raja-raja Melayu berkomplot dengan British untuk melemahkan Umno dengan melarang pegawai Melayu berpolitik.
"Lebih dahsyat lagi penderhakaan ini apabila Presiden Umno menuduh Sultan Kedah sebagai 'kacang lupakan kulit' dan mengugut untuk mengajak ahli Umno menamatkan pemerintahan feudal beraja ini. Akibatnya, Sultan Kedah menyatakan hasrat mengharamkan Umno di negeri itu dan Sultan Johor memaksa Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor pada 17 Jun 1949."
Rupanya, kisah sejarah yang disiarkan dalam laman web rasmi Urusetia Penerangan itu mendapat sambutan sangat baik dari pembaca. Mereka mencadangkan supaya catatan perderhakaan Umno disenarai dan disebarkan seluas-luasnya. Biar mereka tahu dalam catatan sejarah Umnolah yang paling banyak menderhakai Sultan.
Haris Che Mat dan para Pemuda Umno masih di alam kanak-kanak sewaktu Dr. Mahathir dan Umno mengadakan road show ke seluruh negara pada tahun 1983 bagi meminda perlembagaan untuk membuang kuasa raja-raja. Mereka tidak tahu perihal Tengku Ibrahim 'ditabalkan sebagai Sultan Kelantan' oleh Umno setelah BN kalah kesemua kerusi di Kelantan pada pilihnraya umum ke lapan. Mereka masih 'kanyak' untuk memahami tindakan Umno meminda perlembagaan pada tahun 1993 bagi membuang kuasa raja-raja. Ia didahului dengan perang saraf yang bertalu-talu oleh media talibarut BN mendedahkan keaiban raja-raja Melayu. Berminggu-minggu pihak istana dilondehkan.
Sultan Kedah antara yang teruk diaibkan. Almarhum Dato' Fadzil Noor antara tokoh yang lantang menentang tindakan biadap Umno terhadap raja-raja. Ke mana Sultan Kedah pergi, orang PAS datang berpusu-pusu bertemu baginda. Dalam satu majlis di Masjid Zahir, Alor Setar, keberangkatan baginda disambut ribuan penyokong PAS dengan laungan takbir dan Daulat Tuanku. Baginda sampai menitiskan air mata terharu. Sebab itulah tidak pelik jika Ustaz Fadzil satu-satunya tokoh yang menerima anugerah Dato' sewaktu menjadi pembangkang.
Hari ini jika isu derhaka diputarkan oleh piring hitam karat Umno, ia hanya mampu membakar semangat Pemuda dan Puteri Umno yang tidak pernah menelek kitab sejarah. Veteran Umno yang jujur dan tidak memutarbelitkan peristiwa lalu seperti Tengku Razaleigh dan Tun Dr. Mahathir, setakat ini masih berani bercakap benar sekalipun terdapat ramai pemimpin Umno yang berpura-pura lupa. Melayu Umno mungkin mudah lupa, tetapi sejarah tidak pernah berbohong.
Tuesday, February 24, 2009
Ali Rustam guna program rasmi untuk kempen politik
Monday, February 23, 2009
PKWR bertindak segera tangani ribut di Pantai Merdeka
Oleh: AZMAN AHMAD
Sungai Petani – Sebanyak sebelas buah rumah musnah atau hampir musnah akibat dipukul ribut yang berlaku di kampung Bukit Kecil, Simpor hari ini. Ribut yang melanda sekitar jam 4.30 petang bersama hujan lebat menyebabkan beberapa keluarga hilang tempat berlindung.
Rosli Darus, Pembantu Khas Wakil Rakyat Pantai Merdeka yang ditemui selepas melawat tempat kejadian memaklumkan, bancian awal mendapati sekitar sebelas buah rumah rosak dan empat daripada rosak teruk. Antara kerosakan yang dialami adalah bumbung diterbangkan angin dan bumbung pecah.
Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Tikam Batu bersama sebuah jentera membantu kerja-kerja membersihkan kawasan yang terlibat setelah memastikan tiada mangsa yang cedera.
Seorang mangsa, Long Teh menceritakan kejadian cemas apabila terlihat sebatang pokok pinang menimpa rumah jirannya lantas menjerit memberitahu jirannya. ”Dalam waktu yang sama, tanpa disedari bumbung rumah saya sendiri telah ’hilang’ akibat diterbangkan angin,” ujarnya.
Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Pantai Merdeka yang dimaklumkan tentang kejadian tersebut terus mengunjungi kawasan terbabit dan menyelaras kerja-kerja pembersihan serta membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat membuat bancian kerosakan.
Rosli berharap penduduk yang terlibat supaya bersabar menempuh ujian dari Allah ini. Beliau turut merakamkan ucapan syabas kepada dua orang MKK, Haji Darus Haji Md Isa dan Haji Mohd Taib Ahmad yang turut sama memainkan peranan membantu mangsa.
Rosli berharap JKM akan segera menghulurkan bantuan dan berharap kepada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan agar dapat menyalurkan kepada Pusat Khidmat Wakil Rakyat di talian 04-438 0595 bagi memudahkan penyelarasan barangan keperluan.
Sunday, February 22, 2009
Sunday, December 7, 2008
Jangan biar ummah terpesong dari landasan agama
Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
ALOR SETAR, 4 Disember – Dari sehari ke sehari kita didedahkan dengan pembangunan yang membanggakan. Namun, ianya harus seiring dengan pembangunan ummah agar tidak terpesong daripada landasan agama.
Demikian ucapan Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada Majlis Penganugerahan Sijil Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Kedah yang diadakan di Dewan Sri Mentaloon di sini.
"Dunia sudah terbuka, banyak peluang pekerjaan wujud. Bidang pendidikan adalah penting kepada kita untuk bangkitkan semula Islam dalam setiap aktiviti pembangunan negeri.
"Setiap tahun kelahiran di Kedah amat membanggakan dan sepanjang membesarkan anak-anak perlu disemai dengan ajaran agama bagi kesejahteraan di dunia dan akhirat. Ini penting bagi guru-guru agama memainkan peranan sebagai penyampai kepada seluruh rakyat," jelas beliau.
Di majlis itu YAB Dato' Seri Ustaz Azizan telah menyampaikan sijil tersebut kepada 351 penerima dari seluruh negeri Kedah yang anjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Kedah.
Selama pemerintahan, beliau telah membuat penekanan Islam dalam proses pembangunan negeri, seperti pelaburan dan hartanah yang tidak menindas mana-mana pihak.
Dewasa ini, fenomena keruntuhan akhlak di tahap yang kritikal, bukan sahaja berlaku di kalangan muda-mudi, tetapi turut melanda golongan dewasa. Kehidupan masyarakat yang porak peranda adalah berpunca daripada wujudnya golongan yang runtuh akhlaknya, dengan membelakangkan ajaran agama dalam kehidupan seharian, tambah beliau.
"Runtuhnya agama, runtuhlah akhlak, maka adalah penting semua pihak menerapkan ajaran Islam serta para guru agama memainkan peranan dalam penyebaran Islam ini kerana seluruh ummah berperanan sebagai mubaligh.
"Bagi pihak kerajaan, saya telah mengarahkan GLC buat peruntukan bagi aktiviti berteraskan Islam dan kerajaan telah tambah peruntukan dalam pembangunan Islam seperti pembaikan serta pembinaan sekolah-sekolah agama," ujar beliau.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ahli Mesyuarat Kerajaan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Koperasi, Teknologi Maklumat ICT dan Komunikasi, YB Haji Abdullah Jusoh dan Yang Berbahagia Mufti Kerajaan Negeri Kedah, Shahibus Samahah Dato' Paduka Syeikh Hasbullah Haji Abdul Halim.
Thursday, November 27, 2008
Terdapat sekolah masih gantung gambar MB lama
ALOR SETAR – Menteri Besar adalah ketua kerajaan, iaitu orang yang
bertanggungjawab sebagai ketua pentadbir sesebuah negeri. Maka, adalah
penting kepada rakyat untuk mengenali ketua pentadbir kerajaan
tersebut.
Namun, apa yang dikesalkan sekarang, masih terdapat sekolah-sekolah di
negeri Kedah masih menampal gambar Menteri Besar terdahulu, walaupun
kepimpinan kerajaan negeri telah bertukar selepas pilihan raya ke-12
Mac lalu.
Demikian diberitahu oleh Ahli Mesyuarat Kerajaan selaku Pengerusi
Jawatankuasa Pelajaran dan Koperasi, Teknologi Maklumat dan
Komunikasi, YB Tuan Haji Abdullah Jusoh bagi menjawab soalan ADUN
Bakar Bata, YB Dato' Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah pada Sidang Dewan
Negeri Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedua
Belas. YB Dato' Paduka Ahmad Bashah menyarankan agar Exco Pendidikan
melawat sekolah-sekolah di negeri Kedah dengan tujuan pemantauan.
Menurut YB Tuan Haji Abdullah, Kerajaan Negeri dan pusat
bertanggungjawab dalam pembangunan sistem pendidikan. Kerjasama ini
penting bagi melahirkan para ilmuan yang berjasa kepada agama, bangsa
dan negara.
"Apa yang kita harapkan, ada satu rasa muhibah antara Kerajaan Negeri
dan Persekutuan adalah diharapkan, tapi apa yang saya dapati di
sekolah pun tak ada gambar Menteri Besar sampai sekarang, jadi
murid-murid tak tahu siapa Menteri Besar sebenarnya.
"Fungsi sistem pendidikan negeri dimainkan pada peringkat negeri dan
pusat, bagi peringkat negeri hanya mampu untuk membantu sebahagian
daripada aktiviti melibatkan murid-murid yang wujudkan suasana
pembelajaran serta sumbangan setakat yang kita mampu.
"YB Bakar Bata sarankan Exco pendidikan yang sepatutnya pergi ke
sekolah-sekolah, kalau pihak kementerian rasa ini sesuatu yang perlu
kita laksanakan, Alhamdulillah, walau macam manapun apa yang berlaku
sebaliknya," jelas beliau.